KUALA LUMPUR 21 September – Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) sekali lagi menggegarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan menyeru agar bertindak ke atas penghinaan yang dilakukan oleh Sam Bacileke atas Rasulullah SAW melalui penerbitan filemnya Innocence Muslim.
Seruan HTM itu disampaikan oleh Ust Umar Hussein, AJK Pusat HTM sebaik sahaja selesai solat Jumaat di masjid Khalid al-Walid, Jalan Padang Tembak. Di dalam seruannya, HTM menyatakan bahawa tentera wajib bertindak dalam isu ini kerana Rasulullah SAW adalah Rasul kepada seluruh kaum Muslimin termasuklah warga tentera. Sungguh tidak wajar jika ATM hanya berdiam diri dalam kes penghinaan ke atas Rasulullah SAW kerana setiap Muslim wajib mencintai Rasulullah lebih dari segala-galanya di dunia ini. Apatah lagi ATM sebagai sebuah institusi yang mempunyai kekuatan yang sejati di dalam mempertahankan kemuliaan Nabi Muhammad SAW. ATM mesti bertindak segera kerana ia adalah kewajipan, tegas Ust Umar di dalam seruannya.
Umar seterusnya melaungkan bahawa tidak ada solusi yang tuntas di dalam menjawab kebiadaban kuffar AS dalam kes ini kecuali apabila tentera bersuara dengan memberi ancaman jihad kepada AS. Para pemimpin yang ada sudah tidak boleh diharap di mana mereka hanya terus membisu dan langsung tidak berani bersuara. Justeru, harapan umat Islam disandarkan kepada tentera bagi menjawab kelancangan warga AS dan negara AS dalam menghina Rasulullah SAW dengan jihad fi sabilillah.
Sekitar 300 anggota dan penyokong HTM melaungkan takbir berkali-kali di sepanjang demonstrasi aman tersebut. Para demonstran kemudian bergerak dari masjid Khalid al-Walid menuju ke Kementerian Pertahanan (Mindef) tidak jauh dari situ bagi menyerahkan memorandum kepada Panglima ATM. Memorandum berupa bantahan, gesaan dan peringatan kepada Panglima Angkatan Tentera (PAT) agar tidak hanya berdiam diri dengan penghinaan yang berlaku ke atas Nabi Muhammad SAW.
Sebaik tiba di pintu pagar Mindef, sekali lagi seruan dilaungkan oleh Umar Hussein bagi mengingatkan ATM akan tanggungjawab mereka untuk berjihad demi menjaga kesucian Nabi Muhammad SAW dari terus dicemari oleh puak kuffar.
Presiden HTM, Ust Abdul Hakim Othman sebagai ketua delegasi seterusnya meminta untuk berjumpa PAT bagi menyerahkan memorandum atau mana-mana wakil PAT untuk datang menerima memorandum tersebut. Setelah menunggu lebih kurang 10 minit di perkarangan pagar yang diselang-seli dengan ucapan dan laungan takbir para demonstran, salah seorang pegawai datang dan menerima memorandum tersebut bagi pihak PAT dan berjanji akan menyerahkannya kepada PAT.
Hampir kesemua anggota ATM yang berkawal di depan pagar, khususnya pegawai yang menerima memorandum, telah memberikan kerjasama yang baik kepada HTM di sepanjang proses penyerahan memorandum tersebut. Anggota HTM dan ATM kemudian saling bersalaman sebaik memorandum selesai diserahkan. Pujian wajar diberikan kepada anggota ATM yang telah menunjukkan keprofesionalan dan sifat ukhwah yang tinggi semasa menerima memorandum.
Demonstrasi aman ini berakhir dengan bacaan doa oleh Ust Isa Abdullah, yang memohon agar Allah SWT memberikan kekuatan dan kemenangan kepada umat Islam, melalui pertolongan yang diberikan oleh ATM dalam usaha HTM untuk menegakkan Daulah Khilafah yang akan menyatukan umat Islam dan seterusnya mengajar kuffar Barat agar tidak lagi berani menghina Islam, umat Islam dan Rasulullah SAW. Doa turut disambut dan diaminkan oleh kesemua anggota tentera yang ada di situ.